Monday, November 5, 2012

Busana Malaysia









Kursus : STID1103
              Aplikasi Komputer Dalam Pengurusan
Nama : Lee Wai Ping
No. Matrik : 206470
Nama Pensyarah : Dr. Rd. Edy Santoso
Tema : Budaya
Kumpulan : D

PENGENALAN

Istilah busana berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu "bhusana" dan istilah ini popular dalam bahasa Indonesia iaitu "busana" yang diertikan sebagai"pakaian". Namun ,pengertian busana dan pakaian terdapat sedikit perbezaan, iaitu busana mempunyai konotasi "pakaian yang bagus atau indah" , harmonis, selaras, dan secocok dengan pemakainya manakala pakaian adalah sebahagian daripada busana itu sendiri.

BUSANA KAUM MELAYU PEREMPUAN


Baju Kurung ialah pakaian tradisional bagi wanita Melayu. Istilah 'kurung' diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang. Baju Kebaya yang asal direka labuh hingga paras lutut ataupun lebih. Jahitan bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Baju Kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan.






BUSANA KAUM MELAYU LELAKI

Baju Melayu melambangkan nilai luhur seseorang dan adat pemakaiannya bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan akhlak seseorang. Baju Melayu terbahagi kepada baju Melayu potongan Teluk Belanga dan potongan Cekak Musang. Potongan merujuk kepada cara jahitan pada leher baju, potongan Cekak Musang berbentuk rumah butangnya bertindan manakala potongan Teluk Belanga dijahit secara sulaman. Songkok pula merupakan topi tradisional yang melambangkan identiti Islam.



BUSANA KAUM CINA PEREMPUAN


Qipao ialah sejenis pakaian tradisional kaum wanita yang menggabungkan keindahan tradisi Cina dengan gaya elemen yang menarik. Pemakainya tidak perlu memakai sebarang perhiasan kerana pakaian Qipao telah menyerlahkan kecantikan pemakainya secara semula jadi. Pakaian Qipao mempunyai pelbagai jenis corak yang mewakili makna-makna tertentu, seperti corak merak membawa erti keanggunan. Pakaian Qipao dapat mencipta satu perasaan yang elegan dan anggun dalam diri pemakai.






BUSANA KAUM CINA LELAKI

Changsan ialah baju tradisional bagi kaum lelaki Cina. Changshan juga dikenali sebagai changpau atau dagua dalam Bahasa Cina. Changshan diperkenalkan di China pada zaman Dinasti Qing. Rakyat jelata diperintahkan memakai Changshan pada masa itu. Revolusi Komunis tahun 1949 telah menamatkan pemakaian Changshan di Shanghai tetapi emigran Shanghai membawa fesyen ini ke Hong Kong dan mendapat sambutan hangat di sana. Changshan kini hanya dipakai dalam perayaan dan dalam bidang pelakonan sahaja.


BUSANA KAUM INDIA PEREMPUAN


Sari ialah pakaian seharian gadis India dan boleh dipakai semasa musim perayaan. Seseorang gadis India dikatakan telah "dewasa" setelah memakai pakaian sari pada usia 12 tahun. Pakaian tradisional ini dapat dibahagikan kepada 2 bahagian utama, iaitu kain sari itu sendiri dan blaus pendek. Sifat peribadi seseorang pemakai sari dapat digambarkan berdasarkan warna dan corak lain, cara pemakaian, jenis kain dan tempat sari dipakai. Secara amnya, setiap keturunan dan golongan sosial dalam masyarakat India mempunyai cara pemakaian sari yang tersendiri.

BUSANA KAUM INDIA LELAKI


Dhoti merupakan pakaian tradisional bagi kaum lelaki India. Pakaian ini merupakan pakaian kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya dibuat daripada kapas atau linen. Pakaian ini  diperbuat daripada lembaran kain segi empat yang sepanjang 5 hingga 7 ela. Kemudian kain tersebut akan dihiasi dengan manik-manik kecil untuk kelihatan lebih menarik. Cara memakainya adalah melilit kain tersebut di bahagian pinggang dan diikat pada celah paha dan kemudian disangkutkan pada bahu. Pada masa ini, dhoti biasanya dapat dilihat semasa hari perkahwinan kaum lelaki India.







BUSANA KAUM IBAN PEREMPUAN


Wanita Iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang. Kain ini sempit dan panjangnya cuma lebih kurang separas lutut. Bidang yang berfungsi sebagai pakaian harian tidak mempunyai banyak corak. Bidang yang dipakai ketika upacara tertentu atau sebarang perayaan pula dihiasi dengan pelbagai rekaan corak geometrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Perhiasannya terdiri daripada barang perak.












BUSANA KAUM IBAN LELAKI


Baju Kaum Iban yang dipanggil kalambi mempunyai dua jenis iaitu kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Kalambi dipakai ketika upacara tertentu sahaja. Potongan kalambi sangat ringkas iaitu terdiri daripada sebidang kain segi empat bujur yang dilipat dua. Terdapat kalambi yang dihiasi dengan jalur-jalur yang indah dan terdapat kalambi yang dihiasi dengan jalur-jalur yang dipenuhi dengan figura-figura roh dan binatang. Lelaki Iban memakai Baju Burung dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik. Mereka memakai setapok tunjang dan bulu kenyalang atas kepala.









BUSANA KAUM KADAZAN PEREMPUAN

Perhiasan dan sulaman pada pakaian tradisi kaum Kadazan adalah sederhana berbanding dengan kumpulan etnik yang lain.
Sinuangga - Baju lengan pendek dan leher berbentuk U dipakai oleh wanita muda. Baju ini mempunyai sulaman berwarna suram di sepanjang lubang kepala dan lengan, dan sepanjang jahitan tepi dan pertengahan belakang.
Sinompukung - Blaus berlengan yang tidak mempunyai sulaman. Biasanya dipakai di luar sinuangga seperti jaket apabila pemakainya keluar meninggalkan rumah.
Kihongon - Blaus berlengan panjang yang  dipakai oleh wanita tua dan spesialis ritual ataupun Bobohizan semasa sesuatu upacara.








BUSANA KAUM KADAZAN LELAKI

Pakaian kaum lelaki Kadazan menunjukkan pengaruh daripada pakaian Cina. 
Gaung - Baju lengan panjang tanpa sulaman. Pada masa sekarang, "gaung" dihiasi dengan perhiasan dan butang emas.
Souva - Seluar panjang hitam dengan ikatan pinggan berwarna biru indigo. Perhiasan emas di sepanjang pinggang seluar moden.
Kaking atau toogot - Bengkung pinggang hitam.
Siga - Penutup kepala dibuat daripada kain dastar, dilipat atau dililit dalam beberapa cara istimewa iaitu hinopung (hopung = ular sawa) model berpilin Kinahu (kahu' = pemegang belanga) dan model berlipat sinimbitan atau tinahanuk.
Tupi' sinikat - Topi bulat dibuat daripada tali yang kasar dengan teknik lingkaran.








PENUTUP

Secara kesimpulannya, kebudayaan dan warisan tradisi secara turun-menurun oleh setiap kaum adalah berbeza. Perbezaan kebudayaan ini dapat dilihat pada amalan pemakaian yang diwariskan kepada generasi baharu sejak dahulu lagi. Pakaian tradisional ini melambangkan identiti seseorang. Pada era globalisasi ini, pemakaian baju tradisional telah menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di dunia ini.